Thursday, March 14, 2013

Mendorong Murid Corot: Makan-Makan Di Kantin


Hari ni... saya kelelahan walapun 4 waktu sahaja... Almaklumlah, makmal tidak dapat digunakan... jadi saya terpaksa memanjat tangga naik ke kelas pelajar... namun sesi pembelajaran amat menyenangkan... mungkin kerana mereka kesian melihat cikgu mereka kepenatan... jadi semua berkelakuan baik, termasuklah kelas 3 Harmoni kesayangan saya... =)

yang ingin diceritakan adalah peristiwa setelah selesai kelas bersama 3 Harmoni, saya bergerak ke kantin... dari kejauhan saya melihat ada dua murid lelaki sedang makan nasi lemak... dan mereka memalingkan muka apabila melihat saya...

saya melihat lencana mereka... memang pelajar pagi... saya bertanya...

"tingkatan berapa?"

dengan ikhlas mereka menjawab "tingkatan 3..."

belum sempat saya menyoal lebih... mereka terus menerangkan... "cikgu kami lapar"

saya bertanya "bukankah sekarang sudah selesai rehat... sepatutnya awak makan waktu rehat tadi"

"kami tertidur di dalam kelas cikgu... " kata mereka sambil terseyum-senyum...

dalam hati ingin sahaja tidak percaya... tapi saya malas bersoal siasat lebih lebih... jadi saya terus berikan penyelesaian...

"sekarang baru pukul 12, masih ada dua waktu sebelum balik... cikgu mahu setelah awak berdua selesai makan, terus balik ke kelas... tapi jangan ambil masa yang lama... cikgu mahu lepas cikgu keluar dari bilik makan guru nanti, kamu sudah bergerak pulang ke kelas..."

"baik, terima kasih cikgu... " balas mereka

di sini saya aplikasikan Aplikasi Hadith 'Mat Romeo'
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

Intipati hadith:
1. Apabila ada kesalahan dilakukan, punca-punca kesalahan itu tidak disiasat.
disini, saya tidak menyiasat punca mengapa mereka makan pada waktu tersebut, namun kebetulan murid ini sudah menerangkan puncanya dengan sukarela bahawa mereka tertidur dan saya menerimanya dengan berlapang dada dan tidak mendalami puncanya dengan lebih detail.

2. Tidak bertanya "mengapa" kepada pesalah kerana jawapannya boleh menjatuhkan maruah pesalah.
disini juga saya tidak bertanya “mengapa” sebaliknya saya menerangkan peraturan "bukankah sekarang sudah selesai rehat... sepatutnya awak makan waktu rehat tadi"

3. Tumpukan kepada memberikan jalan penyelesaaian masalah.
saya juga memberi penyelesaian kepada masalah ini iaitu “sekarang baru pukul 12, masih ada dua waktu sebelum balik... cikgu mahu setelah awak berdua selesai makan, terus balik ke kelas... tapi jangan ambil masa yang lama... cikgu mahu lepas cikgu keluar dari bilik makan guru nanti, kamu sudah bergerak pulang ke kelas..."

Aplikasi hadith:
1. Hadith ini adalah hadith motivasi akhlak.

2. Teknik-teknik dalam hadith ini sesuai digunakan kepada orang yang pernah melakukan kesalahan akhlak, seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

3. Penggunaan teknik-teknik dalam hadith ini mempunyai kuasa mendorong orang yang pernah melakukan dosa supaya memberhentikan perbuatannya tanpa dia dihukum.

4. Prinsip yang paling penting dalam hadith ini adalah tidak menyiasat mengapa orang itu melakukan dosa-dosa yang pernah dilakukannya.



Wednesday, February 20, 2013

Mendorong Murid Corot: Dipermudahkan Menuntut Ilmu


LOKASI: 3 Gigih (bukan kelas corot)
hari ini saya cuba sedaya upaya untuk mengaplikasikan teknik mendorong pelajar mengangkat tangan dengan soalan-soalan akhlak... tapi disebabkan kurang persediaan, pelaksanaannya agak tergantung... tapi sebenarnya saya sudah berpuas hati, sebagai permulaan...

setelah sesi pembelajaran berakhir, masa masih bersisa 10 minit sebelum rehat... saya mengambil keputusan untuk bertanyakan soalan akhlak... oleh kerana kelas ini mempunyai murid non muslim, maka saya harus tapis skrip saya...

saya meminta murid duduk dan bertenang... dan saya mula bertanya 3 soalan akhlak

"siapa antara kamu hari ini sebelum datang ke sekolah, mencium tangan ibu atau ayah atau kedua-duanya"

soalan saya disambut dengan hampir seluruh kelas mengangkat tangan

saya menyoal lagi "baiklah, siapa pula antara kamu hari ini yang datang ke sekolah dengan niat untuk belajar"

dan soalan ini juga ada murid yang mengangkat tangan, paling mengejutkan 3 murid India di dalam kelas ini juga mengangkat tangan

dan saya meneruskan soalan ketiga "siapa pula antara kamu hari ini, yang apabila bertemu rakan-rakan dan guru-guru dia memberi salam atau mengucapkan selamat sejahtera"

soalan saya ini disambut dengan tiada orang mengangkat tangan...

saya menerangkan "sesiapa yang melakukan 3 perkara ini, insyaAllah dia akan dimudahkan dalam menuntut ilmu... ramai akan mendoakan kita agar dimudahkan urusan kita dalam pelajaran..."

sebelum melepaskan mereka rehat... saya berpesan "jangan lupa salam ibu ayah, niat dan menyapa rakan-rakan dan guru-guru dengan ucapan selamat... esok saya tanya lagi soalan ini"

teknik ini adalah berdasarkan Hadith rujukan: 'Abu Bakar Masuk Syurga'

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Monday, February 4, 2013

Mendorong Murid Corot: Tolong Angkat Air Ini...


hari ini saya ke sekolah dengan satu azam, iaitu saya akan mendoakan sesiapa sahaja yang membantu saya... jadi di bawah saya kongsikan kisah mereka yang membantu saya...

jam 1.50 petang, saya ke kantin untuk mencari murid yang boleh membantu saya mengangkat kotak-kotak air ke atas... Almaklumlah sebagai AJK Kelab Staf, salah satu tugasnya adalah menyediakan kemudahan air minuman kepada guru terutamanya guru sesi petang yang kekurangan sumber makanan dan minuman disamping mencari dana untuk kelab... sampai dikantin saya melihat ada murid tingkatan 3 yang saya mengajar masih belum pulang dan berbual-bual dikantin... jadi mudah untuk saya... mereka sedang duduk berbual menanti waktu untuk ke kelas tambahan...

"boleh kamu, kamu, kamu, kamu dan kamu bantu cikgu?" soal saya kepada 5 orang pelajar di situ (maaf saat ini sebenarnya saya masih belum ingat nama mereka)

"boleh cikgu... nak buat apa cikgu?" tanya mereka

"mari ikut cikgu... " mereka mengikuti saya hingga sampai ke kereta...

"tolong angkatkan kotak-kotak air ni ke bilik guru" pinta saya

"ada upah tak cikgu?" soal salah seorang dari mereka... saya tahu dia memang agak 'menyerlah" di dalam kelas

"insyaAllah, kalau kamu ikhlas" balas saya (ayat itu keluar secara spontan)

sampai di bilik guru, saya pun mengucapkan terima kasih

"sebagai upah, saya doakan moga Allah mudahkan urusan kamu menuntut ilmu di kelas tambahan nanti... insyaAllah...” saya mengangkat tangan dan berdoa...

semua mereka tersenyum dan mengaminkan doa saya... dan sebaik sahaja melihat mereka mahu beredar...

saya berkata “kerana kamu murid yang sangat ringan tulang... cikgu beri kebenaran untuk kamu pilih seorang satu kotak air dari dalam peti ini?"

mereka memilih air kotak pilihan mereka dan keluar dengan gembira dan ceria...

"terima kasih cikgu" ucap mereka penuh ceria...

***saya mula percaya yang bila kita mengucapkan kebaikan, insyaAllah, orang yang mendengar akan merasa gembira dan bahagia...***

disini sekali lagi saya cuba aplikasikan berdasarkan Hadith 'Nabi Tidak Dapat Tidur'

Aisyah melaporkan, katanya, "Pada suatu malam Rasulullah tidak dapat tidur. Lalu beliau berkata, 'Mudah-mudahan ada lelaki soleh daripada kalangan sahabatku yang akan datang menjagaku pada malam ini.' Kemudian kami terdengar bunyi senjata. Rasulullah bertanya, 'Siapakah itu?' Orang itu berkata, 'Saad bin Abu Waqas, wahai Rasulullah.' Rasulullah bertanya, 'Apakah yang membuatkan saudara datang?' Saad menjawab, 'Terdetik dalam diri saya perasaan risau tentang Rasulullah. Lalu saya datang bagi menjaga tuan.' Rasullullah berdoa untuknya, kemudian tidur." - Hadith ini terdapat dalam rekod koleksi sahih Muslim

Nota: Dalam rekod lain dicatatkan bahawa Aisyah melaporkan Nabi Muhammad tidur sampai dia dapat mendengar dengkurannya.

Analisis hadith:

1. Hadith ini menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad menyatakan rasa penghargaan kepada seseorang yang telah melakukan kebaikan kepada beliau.

2. Dalam hadith ini Saad bin Abu Waqas secara sukarela menjadi pengawal peribadi dan dia menjaga keselamatan Nabi Muhammad semasa beliau tidur.

3. Nabi Muhammad tidak berkata "Terima kasih." kepada Saad.

4. Nabi Muhammad membalas perbuatan baik Saad itu dengan membacakan doa untuknya.

5. Prinsip yang penting dalam hadith ini adalah: Budi baik dibalas dengan budi baik, bukan dengan ucapan 'terima kasih'.

i. Saad bin Abu Waqas melakukan budi baik untuk Nabi Muhammad. Dia menjaga keselamatan Nabi Muhammad.

ii. Nabi Muhammad membalas budi baik Saad itu dengan melakukan budi baik juga untuk Saad. Beliau membaca doa untuk Saad.

dan disini saya menggunakan teknik yang sama, iaitu mendoakan murid saya:

"sebagai upah, saya doakan moga Allah mudahkan urusan kamu menuntut ilmu di kelas tambahan nanti... insyaAllah...”


Tuesday, January 29, 2013

Mendorong Keluarga: Abang Faris Chomel


LOKASI: Rumah Manis Ahmad

selepas selesai memasak, kakak saya (Manis Ahmad) menyuruh abang atau kakak untuk naik memanggil abang ipar saya supaya turun makan... tetapi kedua-duanya leka bermain Samsung Galaxy Tab "mak lang" nya

selepas beberapa kali menyuruh, adik saya Anis Ahmad berkata:

"abang, kakak... nak tak Allah sayang?"

kedua-dua mereka berhenti bermain tab dan angkat muka... adik saya menyambung...

"siapa yang nak disayangi Allah, pergi naik panggil abah turun makan..."

sepantas kilat, Abang berlari naik tangga untuk pergi panggil abahnya turun makan...

beberapa ketika kemudian... Abang turun semula...

"abah kata sekejap lagi dia turun..."

mak lang (saya) menambah "cakap dekat Abah, kalau nak disayangi Allah, turun sekarang..."

Abang naik beritahu abah, kami yang menunggu di bawah tersenyum... =)

disini saya cuba aplikasikan Teknik Nabi Muhammad Mendorong Semangat Kerja Anak Buahnya

Hadith 'Tolong Saya dengan Bersujud'
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Rabi'ah bin Ka'ab melaporkan, katanya: "Saya pernah tidur malam bersama dengan Rasulullah. Maka saya sediakan air untuk berwuduk dan keperluan lain untuk beliau. Lalu Rasulullah berkata kepada saya, 'Mintalah apa yang saudara mahu.' Saya menjawab, 'Saya mahu mendampingi tuan di syurga nanti, wahai Rasul Allah!' Rasulullah berkata lagi, 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?' Aku menjawab, 'Itu sahaja yang saya mahu.' Lalu Rasulullah berkata, 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'" -- Hadith ini terdapat dalam koleksi hadith autentik oleh Imam Muslim

Nabi Muhammad mempunyai daya pengaruh yang sangat tinggi ke atas anak-anak buahnya sehingga mereka sanggup dengan sukarela melakukan kerja-kerja untuk beliau, dengan tidak perlu menunggu sehingga diminta ataupun disuruh.  

Hadith di atas menunjukkan anak buah Nabi Muhammad mempunyai semangat kerja yang sangat tinggi.

Dari hadith ini dapat digali strategi dan teknik yang Nabi Muhammad gunakan bagi meningkatkan semangat kerja anak buahnya:

1. Apabila anak buahnya melakukan sebarang kerja secara sukarela, Nabi Muhammad membalas dengan ganjaran atau 'upah'.

2. Nabi Muhammad memberi tawaran terbuka dengan berkata: 'Mintalah apa yang saudara mahu.'

disini adik saya cuba memberi tawaran "siapa yang nak disayangi Allah, pergi naik panggil abah turun makan..."

3. Apabila anak buahnya meminta sesuatu yang mudah diberikan, Nabi Muhammad membuka satu lagi tawaran terbuka dengan berkata: 'Apakah ada yang lain lagi yang saudara mahu?'

4. Nabi Muhammad mendorong anak buahnya supaya melakukan lebih banyak solat dengan berkata: 'Bantulah saya memperkenankan hajat saudara itu dengan cara saudara memperbanyakkan sujud.'

Thursday, January 24, 2013

Testimonial: Nasi Kurang Masak


LOKASI: Ruang Makan Guru, Kantin SMKGS...

Semalam (23 Januari), selepas 3 waktu kelas, saya turun dari kelas 3 Restu untuk makan... sampai sahaja di kantin, ramai sahabat-sahabat guru sudah memenuhi ruang makan kantin... saya melihat menu, banyak menu sayur dan ada beberapa lauk... saya mengambil nasi dan mengambil ayam masak merah...

masuk ke ruang makan, saya duduk bersama rakan-rakan guru yang lain... bila nasi masuk ke mulut, saya sudah terasa nasi itu berbiji-biji dan terasa nasi kurang dimasak...

dalam hati, saya cuba tahankan kerana teringatkan sunnah nabi “tidak mencela makanan” tetapi ramai juga sahabat-sahabat guru yang lain mengomel hal yang serupa...

Sahabat guru, Puan Wahida Wahid yang berada di sebelah saya sudah bersedia bangun untuk ke kaunter bayaran...

kedengaran sahabat-sahabat guru yang lain berpesan kepada beliau...

"kak ida, tolong cakap dengan kakak tu, nasi ni tak masak... nanti kalau dimakan akan sakit perut"

ramai sahabat-sahabat guru yang lain juga turut mengiyakan...

saya menambah "akak, beritahu dia guna teknik nabi"

ramai sahabat-sahabat guru yang lain mengiyakan... dan kami diam sambil melihat teknik nabi yang akan Puan Wahida sampaikan

Puan Wahida ke kaunter bayaran, beliau berkata kepada pekerja kantin yang menjaga kaunter "adik, nanti beritahu bos, nasi tu... kalau dimasak dengan lebih sedikit air akan lebih sedap dimakan"

Pekerja kantin itu tersenyum sambil mengangguk-angguk sambil tersenyum... saya jangkakan dia boleh menerima “teguran” itu dengan lapang dada... sahabat-sahabat guru yang lain juga tersenyum...

Alhamdulillah, sudah ramai yang mula meyebarluaskan teknik nabi ini di SMK Gombak Setia... semoga Allah mengurniakan kepada kami kesabaran dan ketabahan untuk mendidik anak bangsa kami menggunakan Teknik Nabi ini...

Monday, January 21, 2013

Mendorong Murid Corot: Percubaan Menggunakan Hadith 'Abu Bakar Masuk Syurga'

lokasi: 3 Setia (bukan kelas corot)

hari ini tiada kelas dengan murid corot... tapi saya tetap juga mahu aplikasikan teknik nabi... saya bertanya soalan akhlak kepada murid 3 Setia...

"siapa yang bangun pagi ini dan mandi hari ini?"

sebenarnya soalan ini muncul secara spontan, insyaAllah pada masa hadapan saya akan cuba bersedia lebih awal...

murid-murid agak terkejut... ada yang memberi respons "hah?! mandi?! mesti la mandi cikgu..."

tapi seluruh kelas mengangkat tangan... saya menambah...

"bagus semua... Alhamdulillah, kamu akan lebih cergas belajar sebab kamu mandi pagi tadi..."

kemudian saya bertanya lagi dalam nada bergurau... "siapa pula yang menggosok gigi pagi tadi?"

seluruh kelas mengangkat tangan, dan saya membalas "Alhamdulillah, kelas kita hari ini akan sentiasa wangi, sebab semuanya mandi dan gosok gigi"

dan Alhamdulillah, sesi pembelajaran dengan 3 Setia berjalan lancar, murid-murid lebih aktif dan ceria... insyaAllah esok akan berhadapan dengan tingkatan 3 Harmoni kesayangan saya...


saya merujuk kepada Hadith rujukan: 'Abu Bakar Masuk Syurga'

Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Thursday, January 17, 2013

Testimonial: Nasri Oh Nasri

Lokasi: Stesen Minyak Petronas Gombak

saya ke stesen minyak untuk mengisi minyak, tank sudah hampir kosong, lampu amaran juga sudah bernyala...

semasa mengisi minyak... datang 2 buah motorsikal dan parkir di pam sebelah saya... saya kenal salah seorang dari penunggang motorsikal tersebut... beliau ada Nasri... bekas murid saya tahun lepas, kini Nasri di tingkatan 5... tahun lepas beliau bercuti selama hampir setengah tahun kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya... tahun ini Alhamdulillah beliau sudah sembuh... beliau yang pertama menegur saya...

Nasri: cikgu... isi minyak sorang je ke?

Saya: ye sorang je la... nak isi minyak je pun... (sambil tersenyum)

saat saya sudah mengisi minyak dan bersedia untuk masuk ke kereta... beliau menambah

Nasri: Cikgu, berhati-hati bawa kereta... kalau nampak lubang, elak... nanti eksiden macam saya...

beliau mengingatkan saya, sebab pengalaman kemalangan beliau, jatuh motor sebab terlanggar lubang di jalan.

Saya: InsyaAllah, awak juga berhati-hati bawa motor, jangan jatuh lagi... saya doakan awak...

murid corot... tapi bila dijalanan mereka menegur guru dengan sangat bangga... mereka seolah-oleh lupa yang guru itulah yang di sekolah memarahi mereka, memaki hamun mereka... sungguh, saya malu dengan zaman jahilliyah saya...