Monday, January 7, 2013

Mendorong Murid Corot: 3 Gigih Yang Tidak Corot

Lokasi: 3 Gigih (bukan kelas corot)

saya masuk ke kelas dengan niat untuk mengaplikasikan teknik nabi, saya juga berharap dapat menghabiskan perbincangan kerja rumah yang telah diberi minggu lepas

bila saya masuk, saya dapati masih ada beberapa pelajar yang belum membeli buku, jadi saya ambil keputusan untuk menutup mata pada kesalahan dan memuji kebaikan...

"tahniah, anda semua telah membeli buku dan membuat kerja rumah yang diberikan... dengan adanya buku ini, kamu akan lebih faham apa yang ingin cikgu sampaikan"

"baiklah hari ini kita akan bincangkan kerja rumah yang telah kamu buat"

pujian saya mendapat sorakan hampir ke seluruh kelas... saya hanya tersenyum...


Teknik Tutup Mata pada Kesalahan, Puji Kebaikan

teknik ini adalah berdasarkan kepada Hadith rujukan: '12 Malaikat'


Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Pengenalan


Kita mudah nampak kesalahan pelajar kelas corot, dan kurang cekap melihat kebaikan-kebaikan yang mereka lakukan disebabkan minda kita difokuskan kepada mencari salah mereka sehingga kita tidak dapat melihat banyaknya kebaikan yang mereka lakukan. Sebagai contoh, apabila ada pelajar sekolah datang lambat, kita terus nampak kesalahannya itu. Sebenarnya, kenyataan bahawa pelajar itu datang ke sekolah, walaupun lambat, adalah perkara baik yang dilakukannya.

Kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu:

1. Lelaki itu datang lambat. Orang lain sudah mula bersembahyang dia baru sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh.

2. Dia bercakap kuat di dalam masjid sampai Nabi Muhammad yang khusyuk itu pun dapat mendengar suaranya.

3. Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad siapa yang bercakap kuat tadi, dia tidak mengaku.

Kebaikan yang dilakukan oleh lelaki itu:

1. Datang lambat bukanlah perbuatan berdosa, cuma kuranglah pahalanya. Walaupun dia datang lambat, tetapi dia datang juga ke masjid.

2. Dia sempat ikut sembahyang berjemaah.

3. Walaupun dia bercakap kuat, tetapi kata-kata yang diucapkannya adalah kata-kata yang bagus, kerana dia memuji-muji Allah.

4. Walaupun dia lambat, sampai dalam keadaan terkocoh-kocoh dan termengah-mengah, dia tetap ingat kepada Allah, dan mulutnya memuji-muji Allah.

5. Tidak ada sesiapa menyuruh dia berzikir tetapi dia mengambil inisiatif melakukan perbuatan baik itu.

6. Seni kata dalam bacaan zikirnya itu adalah ciptaannya sendiri.

Teknik Nabi Muhammad
Di dalam hadith ini, lelaki itu melakukan perkara-perkara yang salah dan juga perkara-perkara yang betul. Nabi Muhammad pura-pura tidak nampak kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu. Nabi Muhammad memuji senikata zikir ciptaan lelaki itu: “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”

Keadaan seperti ini sering kali berlaku, di mana seseorang itu melakukan perkara-perkara yang betul tetapi pada waktu yang sama dia juga ada melakukan kesalahan. Namun lazimnya kita lebih mudah nampak kesalahannya sahaja.

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'
(Sumber Hadith Psikologi)


saya dapati murid yang tidak membeli buku agak tercengang-cengang, malu-malu sendiri dan tidak tahu apa yang perlu dibuat, jadi saya bagi langkah penyelesaian...

"mari kita bincangkan, yang tiada buku, esok boleh beli di koperasi, tapi sekarang boleh berkongsi dengan rakan sebelah"

suasana P&P bersama 3 Gigih hari ini sangat menyeronokkan, sebab semua murid bersukarela untuk menjawab soalan, saya rasa sangat gembira... 

setiap jawapan yang betul saya hadiahkan dengan pujian dan impak... dan jawapan yang salah, saya tidak menyatakan kesalahan, saya hanya betulkan kesalahan... tapi hampir semuanya menjawab dengan betul... Alhamdulillah...

No comments:

Post a Comment